Sunday, June 5, 2011

MATA AKAL

Kita masih bersama Imam Abu Yusuf (w.182H) dan gurunya, Imam Abu Hanifah (w.150H). Kali ini kita akan mendengarkan Abu Yusuf bercerita kisah yang berlaku pada dirinya semasa kecil. Kisah ini mengandungi banyak pelajaran yang dapat dikeluarkan daripadanya.
Abu Yusuf berkata: “Ayahku wafat apabila aku masih kecil. Ibuku lalu membawaku kepada seorang penjahit untuk belajar ilmu menjahit.”
“Setiap kali aku pergi ke kedai penjahit itu, aku berlalu di majlis Abu Hanifah. Aku duduk di majlis itu untuk mendengarkan pengajaran beliau. Apabila itu terjadi, ibuku segera datang dan menarik tanganku. Beliau mengeluarkanku dari majlis itu, lalu membawaku ke kedai menjahit.”
“Suatu hari, aku memutuskan untuk meninggalkan kursus menjahitku. Aku hanya ingin hadir di majelis Abu Hanifah sepenuh masa. Aku lalu melakukannya. Beberapa masa kemudian, ibuku mendatangi Abu Hanifah sambil marah-marah.”
Ibuku berkata kepada beliau: “Budak ini anak yatim. Kami tidak memiliki apa-apa selain hasil pekerjaanku memintal benang. Oleh itu, aku ingin ia belajar menjahit agar boleh membiayai hidupnya. Namun sekarang, engkau telah merusak anakku!”
Imam Abu Hanifah berkata: “Tenanglah, puan. Ia sekarang tengah belajar ilmu agama. Suatu hari nanti, ia akan menyantap Faluzaj bercampur minyak gajus.” Makanan yang disebut Abu Hanifah ini adalah sejenis kek mewah yang hanya dimakan oleh raja-raja dan orang-orang kaya kala itu.
Namun ibu ini malah semakin marah. Ia lalu berkata: “Engkau orang tua yang sudah nyayuk!” Sambil bangkit dan meninggalkan majlis Abu Hanifah.
Sementara itu, Abu Yusuf terus mencatat kejayaan dalam pelajarannya. Saban hari namanya makin terkenal sebagai pakar fiqh dan hadis yang disegani. Dan apabila Khalifah Al-Hadi (w.170H) menubuhkan satu jabatan khas di dalam kerajaannya yang dinamakan: “Hakim Agung (Qadi Al-Qudat)”, khalifah segera menunjuk Abu Yusuf untuk memangku jabatan ini.
Maka, jadilah Abu Yusuf hakim agung yang pertama di dunia. Seluruh negeri-negeri jajahan Bani Abbasiah yang meliputi hingga hampir sepertiga dunia berada di bawah kekuasaannya. Beliau terus memangku jabatan ini hingga masa pemerintahan Harun Al-Rasyid (w.193H).
Abu Yusuf berkata: “Suatu hari, apabila aku tengah bersama Harun Al-Rasyid, tiba-tiba dihidangkan ke hadapan beliau sebuah kek yang sangat mewah. Aku tidak mengenali kek itu karena belum pernah melihatnya seumur hidupku.”
Harun berkata kepadaku: “Wahai tuan Hakim, cicipilah makanan ini. Tidak setiap hari ia boleh dibuatkan untuk kita.”
Aku bertanya: “Apa nama kek ini, wahai  Amirul Mukminin?” Beliau menjawab : “Ini Faluzaj bercampur minyak gajus.”
Mendengar ini, Abu Yusuf tersenyum. Khalifah bertanya: “Kenapa engkau tersenyum?” Abu Yusuf berkata: “Tidak ada apa-apa, tuanku.”
Khalifah merayunya: “Beritahukanlah aku.” Maka Abu Yusuf menceritakan kisah dirinya seperti di atas, dari awal hingga ke akhirnya.
Mendengar kisah ini, Harun Al-Rasyid menjadi sangat teruja. Beliau berkata: “Sesungguhnya ilmu dapat bermanfaat dan mengangkat darjat manusia di dunia dan di akhirat. Semoga Allah merahmati Abu Hanifah, beliau mampu melihat dengan mata akalnya apa-apa yang tidak terlihat oleh mata kepalanya.”

Mata Akal
Demikian kisah yang saya temui apabila membaca biografi Imam Abu Yusuf dalam kitab Al-Bidayah wal-Hidayah karangan Al-Hafiz Ibn Kathir Al-Dimasyqi (w.774H).
Kisah ini sangat berkesan di dalam hati saya, terutama kata-kata pujian Harun Al-Rasyid untuk Abu Hanifah yang dinilainya “mampu melihat dengan mata akal sesuatu yang tidak terlihat oleh mata kepala.”
Potensi akal memang sangat luar biasa. Berbeza dengan indera, akal boleh menembusi dimensi ruang dan masa. Sehingga jika digunakan dengan baik, akal boleh merekonstruksi masa lalu, atau meramalkan apa yang akan terjadi di masa hadapan.
Masyarakat awam mungkin menyangka orang seperti ini menggunakan kuasa gaib, padahal tidak. Beliau hanya memprediksi apa yang akan terjadi berdasarkan perkara-perkara yang telah terjadi. Maka, “Mata akal” memang lebih tajam daripada “mata kepala”. Dan kemampuan melihat dengan mata akal inilah yang membuat seseorang digelari cerdik-pandai.
Berkata Ziyad bin Abihi:

ليس العاقل الذي يحتال للأمر إذا وقع ، ولكنه الذي يحتال للأمر لئلا يقع

 “Orang yang cerdik bukanlah dia yang mampu menyelesaikan masalah setelah terjadi. Akan tetapi, orang yang cerdik adalah orang yang mampu mengantisipasi masalah agar ianya tidak terjadi.”

Diriwayatkan oleh Ibn Qutaybah Al-Dinawari (w.276H) dalam kitab ‘Uyun Al-Akhbar.

Umar bin Al-Khattab
Kemampuan “melihat masa depan” ini penting dimiliki setiap pemimpin yang menerajui suatu kumpulan atau organisasi. Terutama, organisasi yang bergerak di bidang dakwah dan penyebaran ilmu.
Itu karena setiap hari lanskap dunia yang kita tempati ini sentiasa berubah dengan pesatnya. Seorang pemimpin harus menyadari dan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Ia dituntut untuk memahami zaman yang tengah dihadapinya, sekaligus mengantisipasi pelbagai perubahan yang akan berlaku setelahnya.
Apabila visi seorang pemimpin menembus masa depan, maka ia dapat membekalkan orang-orang di sekitarnya pelbagai kemahiran untuk menghadapi setiap cabaran masa yang akan datang.
Di antara pemimpin besar Islam yang memiliki kemampuan ini adalah Sayyidina Umar bin Al-Khattab, semoga Allah meridainya. Siti Aisyah berkata: “Sesiapa yang melihat Umar pasti yakin bahawa beliau diciptakan hanya untuk Islam. Beliau selalu mengambil berat tugasannya dan sangat cerdik. Beliau selalu bersiap-siap untuk suatu perkara sebelum ianya terjadi.” Diriwayatkan oleh Al-Hafiz Abu Bakar Al-Kharaiti (w.327H) dalam Makarim Al-Akhlaq.
Seorang tokoh tabiin yang sering mendampingi Umar, Ahnaf bin Qays berkata:

والله لهو بما يكون أعلم منا بما كان

“Beliau lebih mengetahui tentang apa yang akan terjadi daripada pengetahuan kami tentang apa yang telah terjadi.” Diriwayatkan oleh Ibn Qutaybah (w.276H) dalam Takwil Mukhtalif Al-Hadith.
Terbukti, di bawah kepimpinan tokoh bervisi futuristik ini, dakwah Islamiah menciptakan kegemilangan yang mustahil dilakukan orang lain. Kerajaan Islam berjaya menaklukkan empayar Rom dan Persia yang perkasa, lalu memerintah negeri-negeri yang sangat luas dan kaya dengan penuh keadilan.

Ibubapa dan guru
Selain pemimpin organisasi, kemampuan ini sangat penting dimiliki oleh setiap ibubapa dan guru. Setiap kita semua tahu peranan ibubapa dan guru sangat besar dalam membentuk masa depan generasi pelapis umat ini.
Seorang ibubapa dan guru wajib menggunakan mata akal untuk “meramalkan” apa yang akan terjadi sepuluh tahun, atau dua puluh tahun, yang akan datang. Mereka harus dapat membayangkan pelbagai cabaran yang akan dihadapi anak-anak dan murid-murid mereka, lalu mengajarkan kemahiran yang relevan untuk mengatasinya daripada sekarang.
Ini semua, saya akui, memerlukan kreativiti yang sangat tinggi. Metod dan tradisi lama yang sudah usang mesti segera ditinggalkan dan diganti. Itu sebabnya, salah satu kaidah pendidikan Islam berbunyi:

لا تربوا أولادكم على ما ربيتم عليه فإنهم خلقوا لزمان غير زمانكم
“Janganlah kamu mendidik anak-anakmu sepertimana orangtuamu mendidikmu. Sebab mereka diciptakan untuk zaman yang berbeza dengan zamanmu.”
Ibubapa dan guru juga dituntut untuk menghindari sikap “ingin mendapatkan keuntungan segera” lalu mengorbankan potensi besar yang dimiliki anak atau muridnya. Keuntungan lebih besar selalu memerlukan masa dan kesabaran yang lebih lama.
Kisah Abu Yusuf yang terhimpit di antara konflik cara pandang ibu dan gurunya, seperti yang saya ceritakan di atas, boleh dijadikan renungan.

Akhirat
Masa depan yang paling jauh dan paling wajib disiapkan adalah akhirat. Meskipun tidak terlihat oleh mata kepala, namun “mata akal” menyaksikan keberadaannya. Maka setiap orang wajib mempersiapkan diri, juga mempersiapkan anak dan muridnya, untuk menghadapi pelbagai cabaran dunia demi menggapai kebahagiaan akhirat.
Dalam Sunan Al-Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah Saw bersabda:

الكَيِّس مَنْ دانَ نفسَه ، وعَمِلَ لما بعد الموت ، والعاجِزُ مَنْ أتْبَعَ نَفَسَهُ هَواهَا وتمنَّى على الله

“Orang yang cerdik adalah dia yang menahan hawa nafsunya dan bekerja untuk (kehidupan) setelah mati. Adapun orang yang lemah (bodoh) adalah dia yang memperturutkan hawa nafsunya, namun berharap Allah akan memberi semua keinginannya.”
Semoga Allah menjadikan kiita manusia-manusia cerdas, yang dapat melihat dengan mata akal kita apa-apa yang tidak terlihat oleh mata kepala kita. Amin ya rabbal álamin.

artikel ini diterbitkan dalam majalah solusi isu 31 kolum Mahmudah.


Tuesday, May 17, 2011

IBN HIBBAN DAN HADIS-HADIS SIFAT

Setelah Al-Sahihayn dan Sunan Al-Tirmidzi, kitab hadis kesukaan saya adalah kitab Sahih yang ditulis oleh Imam Abu Hatim Muhammad Ibn Hibban Al-Busti (w.354H).[1] Beliau menggunakan pendekatan lintas disiplin yang sangat saya kagumi setiap kali berusaha memahami kandungan hadis-hadis Nabi Saw. Setiap perintah ataupun larangan, bahkan khabar (berita) dan lain-lain, dimaknai dengan sangat teliti dan selari dengan kaidah-kaidah yang diterima oleh para fuqaha. Saya sangat berharap para pengkaji hadis mengambil pendekatan ini setiap kali mencuba untuk memahami pesan Rasulullah Saw yang terakam dalam hadis agar terhindar dari sembarang kekeliruan.
Apabila terlibat dalam projek takhrij sekaligus analisis Sahih Ibn Hibban di bawah bimbingan Syeikh Riyad Al-Khiraqi di Damsyik, saya baru tersadar kekayaan ilmu yang terdapat di dalam kitab ini. Kita dapat menemukan di dalamnya berbagai aspek ilmu-ilmu keislaman seperti fiqh, usul, akidah, bahasa Arab, balaghah, dan tentu sahaja ilmu hadis dengan pelbagai cabangnya. Kitab ini ibarat samudera luas yang mengandungi pelbagai mutiara yang belum tersentuh tangan-tangan manusia. Berbagai aspek kajian yang pernah dilakukan ke atas kitab ini masih terlalu sedikit berbanding ilmu-ilmu yang terdapat di dalamnya.

A. Hadis-Hadis Sifat
Dalam tulisan kali ini, saya mencuba untuk berkongsi bacaan saya berkenaan dengan sikap Ibn Hibban terhadap hadis-hadis sifat. Hadis-hadis sifat yang saya maksudkan adalah pelbagai riwayat yang berasal dari Nabi Saw yang menyebut zat dan sifat-sifat Allah Swt. Dalam kajian Ilmu Kalam, riwayat-riwayat ini melahirkan dua pendekatan para ulama dalam menyikapinya, iaitu tafwid (popular di kalangan ulama generasi salaf) dan takwil (popular di kalangan khalaf). Belakangan ini hadis-hadis tersebut kembali hangat diperbincangkan dalam pelbagai kesempatan dengan pendekatan dan sentuhan yang berbeza-beza.
Saya mengamati bahawa sikap Imam Ibn Hibban dalam hal ini sangat berlainan dengan sikap gurunya, Imam Muhammad bin Ishaq Ibn Khuzaimah (w.311H). Sementara Ibn Khuzaimah cenderung “menetapkan (ithbat)” hadis-hadis itu sesuai dengan zahirnya tanpa takwil,[2] Ibn Hibban sangat aktif menafsirkan setiap kata yang mengandungi kesan tasybih dalam hadis-hadis tersebut berpandukan kaidah bahasa Arab yang sangat relevan.
Ibn Hibban berpendapat bahawa kata-kata seperti ini mesti dipahami sesuai dengan konteks dan tradisi berbahasa yang hidup di masyarakat Arabia kala itu. Bahasa Arab terkenal sangat kaya dengan pelbagai gaya bahasa (uslub), salah satunya penggunaan tamthil (perumpamaan) dan tasybih (penyerupaan), dalam praktik perbincangan mereka. Tamthil dan tasybih ini dikenal kemudian dalam perkembangan Ilmu Balaghah dengan sebutan: majaz. Setiap pembaca hadis harus sadar akan adanya aspek majaz ini apabila membaca hadis-hadis Nabi Saw, dan segera menghindari penafsiran hakikat bagi kata-kata majazi.

B. Majaz dalam Hadis
Ibn Hibban, bersama jumhur ulama, berpendapat bahawa hadis mengandungi majaz sebagaimana Al-Qur’an dan teks-teks berbahasa Arab lainnya. Sebab majaz adalah bahagian yang tidak terpisahkan dari tradisi berkomunikasi yang dilakukan bangsa Arab.[3] Ibn Hibban bahkan membuat tarjamah (tajuk hadis) seperti ini: “Menyebutkan hadis yang menunjukkan bahawa lafaz-lafaz ini yang berasal daripada kategori ini menggunakan lafaz-lafaz tamthil dan tasybih sesuai dengan tradisi masyarakat (Arab) tanpa menghukumkan dengan zahirnya.”
Beliau lalu meriwayatkan hadis qudsi yang berisi perbincangan antara Allah Swt dan seorang hamba pada hari kiamat. Allah berkata kepadanya: “Wahai anak Adam, aku sakit kenapa engkau tidak menjengukku? Manusia itu berkata: Wahai tuhan, bagaimana aku menjenguk-Mu padahal engkau adalah tuhan alam semesta? Allah berfirman: Tidakkah engkau tahu bahawa hambaku Si Polan tengah sakit, namun engkau tidak menjenguknya. Tidakkah engkau tahu, bahawa jika engkau menjenguknya, engkau akan menemukan Aku di sisinya.”[4]
Ibn Hibban menjadikan hadis ini sebagai hujah bahawa Allah dan Rasul-Nya menggunakan kalimat-kalimat majaz tanpa menginginkan makna hakikat kata tersebut (“Aku sakit, mengapa engkau tidak menjenguk-Ku?”). Kalau begitu, maka menjadi kewajiban manusia untuk menangkap dengan teliti pesanan yang disampaikan tanpa terjerumus dalam kekeliruan.
Atas dasar itu, Ibn Hibban berusaha menafsirkan setiap hadis yang menyebutkan sifat-sifat Allah, yang zahirnya nampak menyerupai sifat-sifat makhluk, dengan cara yang tidak bercanggah dengan kaidah-kaidah bahasa Arab. Di bawah ini, saya akan menyebutkan beberapa contoh praktik dari metod penafsiran Ibn Hibban semoga memberikan gambaran yang lebih jelas tentang perkara ini.

1. “Diri (nafs)” Allah, “berjalan” dan “berlari”
Dari Abu Hurairah, Rasulullah Saw bersabda: Allah Swt berfirman: “Aku sebagaimana persangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Dan aku bersamanya selama ia menyebut-Ku. Sesiapa yang menyebut-Ku di dalam dirinya, maka Aku akan menyebutnya di dalam diri-Ku (nafsi). Jika ia menyebut-Ku di dalam kumpulan manusia, maka Aku akan menyebutnya di dalam kumpulan yang lebih baik. Jika ia mendekat kepada-Ku satu hasta, maka Aku akan mendekat kepadanya satu depa. Dan jika ia mendatangi-Ku dengan berjalan, Aku akan mendatanginya dengan berlari.”
Ibn Hibban berkata: “Allah Swt terlalu agung dan tinggi untuk dinisbahkan baginya sifat-sifat makhluk, sebab tidak ada yang menyerupai-Nya sedikitpun. Kata-kata ini digunakan sesuai dengan tradisi (taaruf) yang berlaku di kalangan masyarakat.
Sesiapa yang menyebut Allah Swt di dalam dirinya dengan ucapan atau perbuatan yang mendekatkan diri kepada-Nya, Allah akan menyebutnya di dalam kerajaan Malakut-Nya dengan maghfirah sebagai tanda kemurahan-Nya. Dan sesiapa yang menyebut tuhannya di dalam sekumpulan hamba-hamba-Nya, Allah akan menyebutnya di sisi para malaikat muqarrabin dengan maghfirah dan menerima zikirnya.
Sesiapa yang mendekat kepada tuhannya dengan melakukan ketaatan sekedar satu hasta, maka maghfirah lebih dekat kepadanya sekedar satu depa. Sesiapa yang mendatangi amalan-amalan ketaatan dengan cepat seperti berjalan, maka pelbagai rahmat, maghfirah dan kasih saying Allah akan mendatanginya dengan lebih cepat seperti berlari. Allah lebih tinggi dan lebih agung.”[5]

2. “Tangan” Allah
Dari Abu Hurairah, telah bersabda Abu Al-Qasim Saw: “Tidaklah seorang hamba bersedekah dari hasil yang halal -dan Allah hanya menerima dari yang halal dan hanya yang halal yang terangkat ke langit- melainkan sedekah itu seolah-olah diletakkan di tangan Allah yang Maha Pengasih ...” hingga akhir ke hadis.
Ibn Hibban berkata: “Kalimat (seolah-olah diletakkan di tangan Allah yang Maha Pengasih) menjelaskan bagimu bahawa hadis-hadis ini menggunakan lafaz tamthil tanpa ada hakikatnya atau diketahui kaifiatnya. Sebab lawan bicara (mukhatab) tidak memahami (pesanan) seperti ini melainkan dengan kata-kata yang disebutkan dengannya.”[6]
Dalam hadis lain, dari Abu Hurairah bahwa Nabi Saw bersabda: “Tangan kanan Allah sangat penuh, tidak berkurang karena perbelanjaan. Selalu memberi di waktu siang dan malam. Tahukah kamu berapa banyak yang telah Allah belanjakan sejak menciptakan langit dan bumi? Sesungguhnya ia tidak mengurangi apa yang ada di sisi-Nya. Tangan yang lain menggenggam, mengangkat dan menurunkan. Dan Arasy-Nya di atas air.”
Ibn Hibban berkata: “Hadis-hadis yang disebutkan ini membuat orang yang tidak menguasai ilmu menyangka bahawa ahli hadis adalah musyabihah (menyerupakan Allah dengan makhluk). Kami berlindung kepada Allah daripada terlintas pikiran itu di benak satu orangpun ahli hadis.
Akan tetapi, hadis-hadis ini menggunakan tamthil (majaz) untuk sifat Allah sesuai dengan (tradisi berbahasa) yang dikenal oleh masyarakat tanpa menyebutkan kaifiat sifat-sifat Allah. Maha tinggi tuhan kami daripada diserupakan dengan makhluk atau disebutkan kaifiat sifat-sifat-Nya. Sebab tidak ada yang menyerupai-Nya sedikitpun.”[7]

3. “Kaki” Allah
Dari Anas bin Malik, Rasulullah Saw bersabda: “Dilemparkan (ahli neraka) ke dalam Neraka, dan Neraka terus berkata: tambahkan lagi. Sehingga Allah Swt meletakkan kaki (qadam)-Nya di dalam Neraka, maka ia berkata: cukup, cukup.”
Berkata Ibn Hibban: “Hadis ini termasuk hadis-hadis yang menggunakan tamthil mujawarah. Pada hari kiamat, dicampakkan ke dalam Neraka manusia-manusia dan tempat-tempat yang dilakukan maksiat di dalamnya. Neraka terus meminta untuk ditambahkan, sehingga Allah Swt meletakkan tempat (berpijak) orang-orang kafir dan tempat-tempat maksiat itu di dalam Neraka. Maka penuhlah Neraka, sehingga ia berkata: cukup-cukup.
Bangsa Arab menggunakan di dalam bahasanya lafaz kaki (qadam) untuk makna: tempat (berpijak). Allah Swt berfirman: mereka akan mendapatkan qadam yang baik di sisi tuhannya (Qs Yunus ayat 2), Yakni: tempat yang baik. Bukan maknanya bahawa Allah Swt meletakkan kaki-Nya di dalam Neraka. Maha tinggi Allah daripada pemahaman seperti ini dan yang seumpama dengan-Nya.”[8]

4. Allah “Tertawa”
Dari Abu Hurairah, Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt tertawa karena dua orang laki-laki. Salah seorang daripada keduanya membunuh yang lain, namun keduanya masuk syurga.”
Ibn Hibban berkata: “Hadis ini termasuk dalam kategori yang saya sebutkan dalam kitab-kitab saya, bahawa bangsa Arab seringkali menyandarkan perbuatan kepada pihak yang memerintahkan (perbuatan itu), sebagaimana ianya disandarkan kepada pelaku (perbuatan itu). Begitu juga, sebuah gerakan makhluk seringkali disandarkan kepada Allah Swt, sebagaimana ia juga disandarkan kepada mereka.
Sabda Nabi Saw: Allah tertawa karena dua orang laki-laki, maknanya: Allah membuat para malaikat tertawa dan kagum melihat seorang laki-laki kafir yang membunuh muslim, lalu Allah memberinya hidayah sehingga ia masuk Islam setelah itu, maka keduanya masuk syurga. Allah membuat mereka kagum dan tertawa atas suatu kejadian yang telah ditentukannya. Maka dinisbahkan tertawa yang merupakan perbuatan malaikat kepada Allah Swt, sebab Allah yang memerintahkan dan menghendakinya.
Masih banyak sekali hadis-hadis yang menyerupai hadis inisebagaimana yang akan saya sebutkan nanti dalam bahagian sunnah yang kelima daripada kitab ini, jika Allah menentukan dan menghendakinya.”[9]

C. Ibn Hibban dan Tafwid
Perlu saya sebutkan di sini, bahawa selain aktif menafsirkan Ibn Hibban terkadang juga mengambil sikap tafwid, yakni hanya menerima dan mengimani tanpa penafsiran. Saya melihatnya sebagai sebuah sikap berhati-hati apabila tidak menemukan penafsiran yang cukup meyakinkan untuk kalimat yang hendak ditafsirkan. Sejauh bacaan saya, tidak satu orangpun yang mampu mentakwil semua kalimat dalam hadis sehingga meninggalkan tafwid sama sekali, sebagaimana tidak ada satu orangpun yang mampu berpegang kepada tafwid sepenuhnya sehingga meninggalkan takwil sama sekali.
Sikap tafwid Ibn Hibban saya temui apabila beliau meriwayatkan hadis nuzul, yakni Allah Swt turun ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir.
Beliau berkata: “Sifat-sifat Allah tidak dapat dijelaskan kaifiatnya dan tidak dapat dikias dengan sifat makhluk. Sebagaimana Allah berbicara tanpa alat  -dengan gigi, lidah dan bibir seperti makhluk, maha tinggi Allah dari penyerupaan ini, dan tidak boleh dikias ucapan-Nya dengan ucapan kita karena ucapan makhluk menggunakan alat, sementara Allah berbicara sepertimana kehendak-Nya tanpa alat- maka begitu juga Allah turun tanpa alat, pergerakan dan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain...”[10]

D. Metod Ahli Hadis
Sebenarnya, masih banyak hadis lain yang boleh saya sebutkan di sini, namun keterbatasan tempat membuat saya membatalkan niatan tersebut. Tulisan ini hanya hendak hanya merangsang minda pembaca, terutama kalangan pengkaji ilmu hadis, untuk mengarahkan kajian mereka kepada buah pikiran yang saya sebutkan ini dengan metod ilmiah yang sempurna.
Namun begitu, saya berani menegaskan bahawa pendekatan Ibn Hibban ini tidak asing di kalangan ahli hadis mutaqaddimin dan mutaakhirin. Pendekatan metodologis seperti ini pernah dipraktikkan oleh ahli hadis sebelum beliau seperti Ibn Qutaybah Al-Dinawari (w.276H) dan lain-lain.[11] Metod ini juga digunakan oleh ramai ahli hadis setelah beliau seperti Abu Sulaiman Al-Khattabi [w. 388 H], Ibn Furak Al-Isbahani [w. 406 H], Ibn Hazm Al-Zahiri [w. 456 H],[12] Al-Baihaqi [w. 458 H], Ibn Abdil Bar [w. 463 H], Abu Al-Wafa Ibn 'Aqil Al-Hanbali [w. 513 H], Ibn Al-Jauzi [w. 597 H], Al-Hafiz Ibn Daqieq Al-‘Ied [w. 702 H], Ibn Hajar Al-Asqalani [w.852H], hingga pakar-pakar hadis yang hidup pada hari ini.
Di sisi lain, kita memang menemukan sekelompok ahli hadis yang cenderung kepada pendekatan “menerima tanpa takwil” seperti Ibn Khuzaimah [w.311H], Al-Ajurri [w.360H], Ibn Mandah [w.470H], Ibn Taymiah [w.728H], Al-Dzahabi [w.748H], Ibn Al-Qayyim [w.751H], Ibn Kathir [w.774H] dan ramai ahli hadis lainnya.
Bagi saya, perkara ini jelas bersifat ijtihadiah. Apabila diperbincangkan secara ilmiah berpandukan kaidah-kaidah muktabar dalam ilmu-ilmu keislaman, ianya tidak akan mungkin membawa kepada perpecahan. Sebaliknya, malah terlihat bagi kita bahawa kedua kelompok ini sebenarnya bersatu dalam makna dan tujuan, meski berbeza dalam metod dan pendekatan. Wallahu a’lam. 


Umar Muhammad Noor
Tuesday, 17 May 2011, Woodlands Singapore
 

1] Kitab yang masyhur dengan sebutan “Sahih Ibn Hibban” ini sebenarnya bertajuk “Al-Taqasim wal Anwa’ . Susunannya sangat lain daripada yang lain sehingga sukar untuk mencari hadis-hadis yang terdapat di dalamnya. Ini mendorong Ali Ibn Balban Al-Farisi (w.739H) merubah susunan kitab ini menjadi bab-bab fiqh agar mudah digunakan, lalu diberi nama “Al-Ihsan fi Tartib Sahih Ibn Hibban”.  
[2] Sebagaimana terlihat dalam kitabnya yang bertajuk “Kitab Al-Tauhid wa Ithbat Sifat Al-Rab”.
[3] Berkata Ibn Al-Sayyid al-Bathliyusi [w. 521 H], “Inilah pendapat yang benar, tidak boleh selainnya.” Lihat Abdullah bin Muhammad Ibn Al-Sayid Al-Batlyusi, “Al-Inshaf fi Al-Tanbih ‘ala Al-Ma’ani wa Al-Asbab allati awjabat Al-Ikhtilaf bayna Al-Muslimin fi Ara’ihim”, tahqiq Dr Muhamad Ridwan Al-Dayah, Damsyiq: Dar Al-Fikr, 1987, cet. ke-3, hal. 71.
[4] “Al-Ihsan fi Tartib Sahih Ibn Hibban”, tahqiq Kamal Yusuf Al-Hut, [Beirut: Dar Al-Fikr, 1987] 1/243.
[5] Ibid. 2/90.
[6] Ibid. 1/244.
[7] Ibid. 2/54.
[8] Ibid. 1/243.
[9] Ibid. 7/86.
[10] Ibid. 2/136.
[11] Saya telah mengkhususkan satu kajian terhadap metod Ibn Qutaybah dalam buku tersendiri yang bertajuk “Takwil Hadis”. Buku ini tengah dalam proses penerbitan oleh “Telaga Biru”. Semoga Allah mempermudah proses ini sehingga dapat menjadi sumbangan kecil dari saya bagi perkembangan kajian ilmu hadis di rantau ini.
[12] Metod Ibn Hazm dalam hadis-hadis sifat ini pernah dikaji oleh Syeikh Muhammad Abu Zuhrah dalam kitabnya yang bertajuk “Ibn Hazm: hayatuhu wa ‘asruhu, ara’uhu wafiqhuh”, tth. tp.,  ms 217 dan seterusnya.