Monday, November 14, 2011

SANAD 'AMR BIN SYUÁIB DARI BAPAKNYA DARI DATUKNYA: Catatan atas Kitab I'lam Al-Muwaqqi'in



Sejak beberapa hari ini, saya tengah berusaha untuk mengkhatamkan bacaan kitab “I’lam Al-Muwaqqiín ‘An Rabbil ‘Alamin” karya Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad bin Abu Bakr Ibn Qayyim Al-Jauziyyah (w.751H). Kitab setebal empat jilid ini sangat penting untuk dibaca dan dipahami oleh setiap orang yang berbicara tentang hukum Islam. Gaya penulisan Ibn Qayiim yang sangat halus dan lancar membuat pembacaan ini menjadi sangat menyenangkan. Nampak sekali, Ibn Al-Qayyim sangat menguasai ilmu hadis dan fiqh, terutama mazhab Hanbali.
Meski begitu, setiap kali Ibn Qayyim berbincang tentang perkara-perkara yang terkait dengan ilmu hadis, saya selalu melihat ruang untuk diskusi. Salah satunya bahasan beliau tentang status sanad ‘Amr bin Syu’aib dari bapaknya (Syuáib bin Muhammad) dari datuknya (Abdullah bin Amr bin Al-As, sahabat Nabi Saw). Sanad ini memang telah menjadi perbincangan hangat di kalangan ahli hadis mutaqaddimin, meskipun pada perkembangan berikutnya, ahli hadis mutakhirin menyimpulkan bahawa sanad ini dinilai hasan, sebahagian bahkan mensahihkannya.

Ibn Qayim menulis:

وَقَدْ احْتَجَّ الْأَئِمَّةُ الْأَرْبَعَةُ وَالْفُقَهَاءُ قَاطِبَةً بصحِيفَةَ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ ، وَلَا يُعْرَفُ فِي أَئِمَّةِ الْفَتْوَى إلَّا مَنْ احْتَاجَ إلَيْهَا وَاحْتَجَّ بِهَا ، وَإِنَّمَا طَعَنَ فِيهَا مَنْ لَمْ يَتَحَمَّلْ أَعْبَاءَ الْفِقْهِ وَالْفَتْوَى كَأَبِي حَاتِمٍ الْبُسْتِيِّ وَابْنِ حَزْمٍ وَغَيْرِهِمَا .

“Para imam yang empat dan seluruh fuqaha berhujah dengan sahifah ‘Amr bin Syuáib dari bapanya dari datuknya. Dan tidak diketahui  di kalangan imam-imam fatwa melainkan mereka perlu dan berhujah dengannya. Yang mencela sahifah ini hanyalah orang yang tidak menanggung tugasan fiqh dan fatwa seperti Abu Hatim Al-Busti, Ibn Hazm dan selain keduanya.” [1]

Saya memahami dari ucapan ini dua perkara. Pertama, seluruh fuqaha termasuk empat imam pendiri mazhab, yakni Abu Hanifah, Malik, Al-Syafii dan Ahmad bin Hanbal, berhujah dengan silsilah ‘Amr bin Syuáib dari bapaknya dari datuknya. Kedua, tidak ada yang meragukan kesahihan silsilah ini melainkan para ulama yang bukan ahli fiqh. Mereka antaranya, menurut Ibn Al-Qayim, adalah Abu Hatim Al-Busti, yakni Ibn Hibban penulis Sahih, dan Ibn Hazm.

Kedua-dua perkara ini terbuka untuk diskusi panjang. Berikut ini adalah ulasan saya terhadap ucapan kedua perkara tersebut.

Pertama

Tidak semua fuqaha berhujah dengan silsilah ‘Amr bin Syuáib dari bapaknya dari datuknya, sebagaimana tidak semua ahli hadis menerima silsilah ini sebagai sanad yang sahih. Ramai ahli hadis mutaqaddimin yang melemahkan sanad ini, dan ramai juga yang menerimanya.[2] Imam Ahmad berkata: “Ahli hadis berhujah dengan silsilah ini apabila mereka menghendaki, dan meninggalkan (berhujah dengannya) apabila mereka menghendaki.” Al-Zahabi mengulas: “Ucapan ini ditafsirkan bahawa ahli hadis ragu-ragu berhujah dengannya, bukan bermakna bahawa mereka melakukannya atas dasar hawa nafsu.”[3]
Perbincangan kita bukan status sanad ini di kalangan ahli hadis. Akan tetapi, kita ingin melihat sejauh mana ketepatan ucapan Ibn Al-Qayyim bahawa semua fuqaha, termasuk para pendiri mazhab yang empat, berhujah dengan silsilah ini. Saya kembali menemukan bahawa tidak semua daripada keempat imam pendiri mazhab berhujah dengan silsilah ini.

Imam Abu Hanifah memang sering berhujah dengan riwayat ini sebagaimana yang tercantum dalam kitab bertajuk “Musnad Abu Hanifah”. Imam Malik mencantumkan riwayat ini di Muwatta melalui Abdurahman bin Harmalah dan seorang perawi thiqat yang beliau tak sebutkan namanya.[4] Ini menunjukkan bahawa kedua imam besar ini menerima riwayat ‘Amr bin Syuáib dari bapaknya dari datuknya dalam masalah hukum.

Adapun Imam Al-Syafii, saya melihat sikap beliau sungguh berbeza. Apabila mengkaji metod Imam Al-Syafii dalam kritik hadis, saya mendapati bahawa beliau selalu melemahkan silsilah sanad ini dan menolak berhujah dengannya jika tidak disokong oleh dalil yang lain. Beliau berkata: “Sesetengah manusia berpendapat (wajibnya) zakat perhiasan, dan mereka meriwayatkan padanya sebuah hadis lemah.”[5] Pada tempat lain, beliau berkata: “Jika seseorang berhujah dengan hadis yang tidak sahih bahawa ia (isteri) tidak boleh memberi hartanya tanpa izin suami, tidak ada alasan baginya kecuali jika suami itu juga adalah walinya.”[6] Semua ini adalah isyarat kepada hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Syuáib dari bapaknya dari datuknya.

Berkata Al-Baihaqi: “... Al-Syafii seolah bertawaquf dalam berhujah dengan riwayat ‘Amr bin Syuíab jika tidak ada perkara yang menyokongnya sebab dikatakan bahawa ‘Amr bin Syuáib dari bapaknya dari datuknya adalah sahifah yang ditulis oleh Abdullah bin ‘Amr. Kami telah sebutkan dalam kitab Haji dan lain-lain bukti kesahihan riwayat ‘Amr dari bapaknya dari datuknya Abdullah bin ‘Amr.”[7]

Saya melihat sikap Al-Syafii bukan hanya bertawaqquf, akan tetapi lebih dekat disebut sebagai penolakan. Sikap ini berbeza dengan pendirian para ulama mazhab Al-Syafii selanjutnya seperti Ibn Khuzaimah, Al-Daruqutni, Al-Hakim, Al-Baihaqi hingga Al-Nawawi yang menerima riwayat ‘Amr bin Syuáib dari bapaknya dari datuknya sebagai hujah. Saya melihat perkara ini salah satu daripada beberapa perbezaan metodologis yang terdapat antara Imam Al-Syafii dan ulama-ulama Syafiiyyah.

Dari Ahmad bin Hanbal terdapat dua riwayat berkenaan dengan kesahihan silsilah ini. Al-Maymuni meriwayatkan dari beliau: “Ia memiliki hadis-hadis munkar. Kami menulis hadisnya untuk iktibar. Adapun  sebagai hujah, maka tidak.” Dari Al-Athram, Imam Ahmad berkata: “Aku menulis hadisnya, kadang-kadang berhujah dengannya. Seringkali hati merasa tidak sedap dengannya...”[8] Murid Imam Ahmad yang paling mengerti hadis, iaitu Imam Abu Dawud, mengatakan bahawa silsilah ini bukan hujah, bahkan bukan setengah hujah. Diriwayatkan oleh Al-Ajurri.[9]

Dengan demikian, boleh disimpulkan bahawa ucapan Ibn Al-Qayim di atas jelas memerlukan perincian dan penjelasan lebih lanjut.


Kedua

Ucapan Ibn Al-Qayyim berikutnya, yakni hanya ahli hadis yang bukan faqih sahaja yang menolak berhujah dengan sanad ini, jauh lebih lemah daripada ucapan sebelumnya. Apalagi, beliau meletakkan Ibn Hibban dan Ibn Hazm sebagai di antara tokoh-tokoh seperti ini.
Siapa yang menelaah dengan teliti tajuk-tajuk bab (tarajum al-abwab) Sahih Ibn Hibban tidak mungkin meragukan ketinggian fiqh yang beliau miliki. Fiqh itu berasal daripada pemahaman yang jernih terhadap hadis-hadis Nabi Saw dengan metod istinbat yang sangat mengagumkan.[10] Penolakan Ibn Hibban terhadap sanad ‘Amr bin Syuáib ini didasari hujah yang cukup kuat sambil mencerminkan kedalaman ilmu beliau dalam bidang hadis.[11] Beliau enggan bertaqlid dengan gurunya sendiri, yakni Ibn Khuzaimah, dalam permasalahan ini malah memilih untuk menyalahinya.

Adapun Ibn Hazm, maka siapa yang membaca Al-Muhalla akan terpegun dengan keaslian pemikiran dan metod beliau dalam istinbat hukum. Meskipun pendekatan beliau sangat zahiri sambil menolak qiyas sebagai sumber hukum, dan Ibn Al-Qayim tidak setuju dengan sikap ini, namun saya rasa perkara itu tidak boleh membuat kita menzalimi kedudukan beliau sebagai seorang faqih yang sangat cerdas. Cukup untuk menunjukkan perkara itu, kenyataan bahawa Sultan Ulama: Izzudin bin Abd Al-Salam yang diiktiraf telah mencapai darjat mujtahid berkata: “Aku tidak pernah melihat kitab-kitab ilmu dalam Islam yang menyamai Al-Muhalla karya Ibn Hazm dan Kitab Al-Mughni karya Syeikh Muwafaquddin (Ibn Qudamah).”[12]

Wallahu a’lam.

Woodlands Singapore,
Tue, 15 Nov 2011

[1] I’lam Al-Muwaqqi’in, tahqiq  ‘Isamuddin Al-Dubati, Kairo: Dar Al-Hadith, 1993, jilid 1, hal.95.
[2] Tahdhib Al-Tahdhib, tahqiq Ibrahim Zaibaq et. al., Damsyik: Muassasah Al-Risalah, 2001, jilid 3, hal. 179.
[3] Siyar A’lam Al-Nubala, tahqiq Khairi Saad, Mesir: Al-Maktabah al-Tawqifiyyah, tth., jilid 6 hal. 13.
[4] Lihat Muwatta (1294) dan (1831). Menurut Ibn Abdil Bar, kemungkinan perawi yang tidak disebutkan namanya itu adalah Ibn Lahiáh, atau Ibn Wahb dari Ibn Lahiáh. Lihat Al-Tamhid, tahqiq Usamah bin Ibrahim, Kairo: Al-Faruq al-Hadithiyyah, cet. ke-1, 1999, jilid 12 hal. 7.
[5] Ma’rifat Al-Sunan Wa Al-Athar, tahqiq Dr Abdul Mu’ti Amin Qal’aji, Damsyik: Dar Ibn Qutaybah, 1991, jilid 6, hal.141.
[6] Ibid., Jilid 8, hal.268.
[7] Ibid., Jilid 6, hal.141.
[8] Tahdhib Al-Tahdhib, op. cit., jilid ke-3 hal. 178. Adapun ucapan Al-Tirmidzi yang menukil dari Al-Bukhari bahawa ahli hadis seperti Ahmad, Ibn Al-Madini, Ishak dan lain-lain berhujah dengan silsilah ini, maka Al-Zahabi menilai riwayat ini keliru. lihat Siyar A’lam Al-Nubala, op. cit., jilid 6, hal.13.
[9] Tahdhib Al-Tahdhib, op. cit., jilid 3, hal.278.
[10] Metod Ibn Hibban ini kebanyakannya diambil daripada gurunya iaitu Imam Ibn Khuzaimah. Saya pernah menulis sedikit tentang metod beliau dalam menafsirkan hadis-hadis sifat dalam sebuah artikel singkat di blog ini. Sila rujuk “Metod Ibn Hibban dalam Memahami Hadis-hadis Sifat.”
[11] Lihat ucapan Ibn Hibban tentang sanad ini dalam Kitab Al-Duáfa wa Al-Majruhin, tahqiq Hamdi Abdul Majid Al-Salafi, Riyad: Dar Al-Saimaí, 2000, jilid 2, hal.37.
[12] Siyar A’lam Al-Nubala, op. cit., jilid 13, hal.529. Mengulas ucapan ini, Al-Zahabi berkata: “Benar ucapan Syeikh Izzudin. Dan kitab yang ketiga: Sunan Al-Kabir karya Al-Baihaqi, yang keempat: Al-Tamhid karya Ibn Abdil Bar. Barangsiapa yang memiliki kitab-kitab ini, dan kebetulan ia seorang mufti yang cerdas, lalu menelaahnya selalu, maka ia akan menjadi seorang ‘alim yang sebenar-benarnya.”

No comments:

Post a Comment