Wednesday, April 13, 2011

MENJADI KISMIS SEBELUM MENJADI ANGGUR

Kisah yang akan ceritakan ini sering saya dengar semasa menuntut di Syria dahulu. Ternyata ianya berasal dari kitab Al-Asybah wa Al-Naza’ir karangan Ibn Nujaim Al-Hanafi, lalu dikisahkan kembali oleh Syeikh Zahid Al-Kauthari dalam kitabnya Husnu Al-Taqadhi fi Sirah Abi Yusuf Al-Qadhi.
Kisah ini berkenaan dengan Imam Ya’qub bin Ibrahim Al-Ansari; masyhur dengan panggilan Abu Yusuf (w. 182 H).  Beliau murid kesayangan Imam Abu Hanifah.  Beliau sangat bijak, hafalannya kuat dan banyak ilmu. Di antara ramai murid Abu Hanifah yang lain, Abu Yusuf selalu terdepan dalam semua perkara.
Pada suatu hari, Abu Yusuf merasa ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Saatnya untuk menjadi tokoh ulama yang siap menjawab semua permasalahan umat. Beliau lalu meninggalkan majlis Abu Hanifah dan membuka majelis ilmu sendiri. Dalam majelis itu, Abu Yusuf mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.
Mengetahui perkara ini, Abu Hanifah berniat menyadarkan muridnya. Diam-diam, beliau mengutus seseorang ke majelis Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk mengujinya.
Orang itu berkata kepada Abu Yusuf: “Saya menyerahkan sepotong kain kepada penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun esoknya, ia memberi saya kain itu yang telah dijahit menjadi baju. Soalan saya: apakah ia berhak menerima upah?”
Abu Yusuf menjawab: “Ia berhak menerima upah.” Orang itu berkata: “Jawapanmu salah.”
Abu Yusuf merubah jawabannya: “Ia tidak berhak menerima upah.” Orang itu kembali berkata: “Jawapanmu salah.” Abu Yusuf menjadi sangat bingung.
Orang yang telah dilatih Abu Hanifah ini lalu berkata: “Jawaban yang benar adalah: jika baju itu dijahit sebelum ia mengingkari kain, maka ia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah ia mengingkari kain, maka ia tidak berhak.”
Orang ini terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, ia menyalahkan jawapannya lalu mengajukan jawapan yang tepat.
Diskusi ini jadi menyadarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama, malah masih perlu banyak belajar daripada ulama. Akhirnya, beliau memutuskan kembali ke majelis ilmu Abu Hanifah untuk melanjutkan pengajiannya.
Apabila melihat Abu Yusuf, Abu Hanifah tersenyum dan berkata: “Engkau telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.”

Hukum Kesempurnaan
Kisah ini sangat inspiratif. Seringkali kita melihat diri kita begitu besar dan matang, padahal pada kenyataannya masih begitu kecil dan mentah.
Sebuah kesempurnaan dan kematangan tidak pernah datang begitu sahaja. Ianya merupakan hasil dari suatu proses. Proses ini terdiri dari beberapa tahapan. Antara satu tahapan kepada tahapan yang lain seringkali memerlukan masa yang cukup panjang.
Hukum ini berlaku untuk semua makhluk hidup. Seekor ulat menghabiskan masa berhari-hari di dalam kepompong sebelum menjadi rama-rama yang cantik. Bahkan sebiji anggur sebelumnya mentah, lalu masak, kemudian kering dan menjadi kismis.
Sesiapa yang tidak sabar menjalani semua ini, maka proses kesempurnaan itu akan terbantut. Lalu ia tidak akan pernah sempurna selama-lamanya.
Hukum kesempurnaan ini juga berlaku untuk semua disiplin ilmu atau kerjaya yang kita pilih. Seorang dokter pakar memerlukan masa yang panjang sebelum menjadi spesialis di bidang perubatan. Begitu juga seorang jurutera, penulis, pelakon apalagi ulama Islam yang menjadi rujukan umat.
Jadi, jalan menuju kepakaran sangat panjang. Sesiapa yang menjalaninya dengan sabar, suatu hari akan tampil sebagai pakar yang disegani. Dan pendapatnya dalam disiplin itu diakui sebagai pandangan yang berwibawa.
Sebaliknya, sesiapa yang tak sabar menjalaninya, lalu mendakwa pakar sebelum masanya, maka ia telah kering sebelum matang, menjadi kismis sebelum menjadi anggur. Oleh itu, ucapan dan pendapatnya tidak mengandungi nilai ilmiah sama sekali.
Dalam kaidah fiqh ada disebutkan:

مَنِ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

“Sesiapa yang ingin memiliki sesuatu sebelum masanya, maka ia diharamkan daripada memiliki sesuatu itu.”
Orang seperti ini ibarat pokok yang belum tertanam dengan sempurna, maka buah yang keluar daripadanya pun tidak bermutu tinggi. Berkata Syeikh Ibn ‘Athoillah Al-Sakandari dalam Al-Hikam:

ادْفِنْ وجودَك في أرضِ الخمولِ فما نَبَتَ مما لم يُدْفَنْ لا يَتِمُّ نَتَاجُه

“Tanamlah dirimu di tanah kehinaan (khumul). Sebab apa-apa yang tumbuh dari pokok yang tidak tertanam tidak pernah matang.”
Sebelum merusak orang lain, sikap “ingin cepat besar” ini akan merusak dirinya sendiri. Ia akan tersibukkan dengan berbagai perkara sehingga tidak sempat lagi menimba ilmu. Dan, perasaan takut dilihat bodoh dan khuatir ditinggalkan pengikut akan menjauhkan dirinya daripada jalan peningkatan ilmu.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari menukil ucapan berikut ini dari Imam Al-Syafii:

إِذَا تَصَدَّرَ الْحَدَث فَاتَهُ عِلْم كَثِير

“Apabila orang yang baru belajar telah maju ke hadapan (yakni: hendak menjadi tokoh besar), maka ia terluput ilmu yang sangat banyak.”

Umar Muhammad Noor
Artikel ini diterbitkan oleh majalah solusi isu 30
 

Friday, March 18, 2011

PERBEZAAN ADALAH SEBUAH KENYATAAN

Sebagai tokoh rujukan umat Islam, nama Imam Malik bin Anas (w.179H) sangat harum di sisi penguasa Abbasiah di Baghdad. Khalifah yang berkuasa pada saat itu, Abu Ja’far Al-Mansur [w. 158 H], sangat mengagumi dan menghormati beliau.
Suatu ketika, apabila Khalifah Al-Mansur datang ke Mekah untuk melaksanakan ibadah haji, beliau segera menjemput Imam Malik untuk menemuinya. Keduanya lalu berdiskusi tentang pelbagai perkara berkenaan dengan hukum agama. Tampak sekali, Khalifah sangat teruja dengan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam Ahli Madinah ini.
Khalifah Al-Mansur lalu berkata, “Saya berniat untuk menyalin kitab Al-Muwatta (kitab hadis dan fiqh karangan Imam Malik) sebanyak-banyaknya, lalu aku akan mengutusnya ke seluruh negeri. Aku akan memerintahkan semua rakyat untuk melaksanakan isinya dan meninggalkan kitab-kitab yang lain. Sebab menurutku, mazhab yang benar adalah mazhab ahli Madinah.”
Abu Ja’far Al-Mansur seorang khalifah yang sangat tegas dan disegani. Jika beliau memerintahkan sesuatu, tidak ada yang berani membantahnya. Dan kali ini, beliau bertekad untuk menjadikan kitab Al-Muwatta satu-satunya rujukan dalam hukum Islam, dan menjadikan fatwa Imam Malik satu-satunya fatwa yang berlaku untuk seluruh rakyat.
Ini tawaran yang sangat menguntungkan. Namun, apa kira-kira respon Imam Malik untuk tawaran ini?
Beliau berkata, “Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau laksanakan niatan ini. Sesungguhnya masyarakat kita telah mempunyai pendapat sendiri-sendiri, mereka juga membaca hadis dan memiliki riwayat. Setiap orang bebas mengamalkan pendapat yang menurutnya benar sesuai dengan fatwa para sahabat Nabi Saw. Mencabut amalan dan pendapat yang selama ini diyakini bukan perkara ringan. Maka biarkanlah setiap orang melaksanakan pendapat yang menjadi pilihan mereka masing-masing.”
Jawapan ini sangat bijaksana. Apabila mendengarnya, Khalifah Al-Mansur tidak jadi melaksanakan niatannya itu. Beliau berkata, “Demi Allah, andai engkau setuju, niscaya aku akan segera melaksanakan niatan ini.”

***
Kisah ini diceritakan oleh Al-Qadhi ‘Iyad Al-Yahsubi dalam kitab Tartibul Madarik, lalu diceritakan kembali oleh Al-Hafiz Abu Abdillah Al-Dzahabi dalam Siar A’lam An-Nubala. Apabila membaca kisah ini, kekaguman saya semakin besar kepada Imam Malik bin Anas. Beliau benar-benar tokoh ulama yang patut menjadi panutan umat hingga ke hari ini.
Dalam kisah ini, beliau mengajarkan kita untuk menyadari bahawa perbezaan pendapat adalah sebuah kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Orang yang tidak dapat menerima perbezaan, pada hakikatnya, ia tidak mampu menerima kenyataan.
Imam Malik sepenuhnya insaf dan sadar bahawa pendapat beliau bukan satu-satunya pendapat. Jika kita memiliki pendapat yang kita yakini kebenarannya, bahkan rela berkorban untuk mempertahankannya, maka orang lainpun boleh melakukan perkara yang sama. Oleh itu, kita harus menerima kenyataan ini dengan lapang dada dan menghindari sikap “menang sendiri” apalagi “memaksakan pendapat sendiri”.
Apalagi, Allah telah menegaskan bahawa keragaman pendapat merupakan sesuatu yang memang disengaja. Dalam Qs Huud ayat 118-119, Allah berfirman, “Kalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.”

***
Meski perbezaan pendapat (ikhtilaf) mesti diraikan, namun tidak semua pendapat boleh diiktiraf atas prinsip keberagaman. Para ulama telah lama menggariskan, apabila ikhtilaf itu berkenaan dengan prinsip-prinsip agama [usul] seperti perkara-perkara asas dalam akidah atau hukum yang telah ditetapkan dengan ijmak, maka ikhtilaf ini berkaitan dengan sesat atau lurus.
Namun, jika ikhtilaf itu berkaitan dengan perkara-perkara cabang [furu’], maka tidak boleh ada tuduhan sesat atau kufur di sini. Akan tetapi, kita hanya hanya boleh menilai salah satu daripada pendapat itu sebagai lemah atau salah, tanpa membawa label sesat atau kufur.
Berkata Imam Ibn Nujaim Al-Hanafi dalam kitab Al-Asybah wan Naza’ir:
  
“Apabila kita ditanya tentang mazhab kita dan mazhab lain yang bertentangan dengan mazhab kita di dalam perkara-perkara furuk, kita mesti menjawab bahawa mazhab kami benar, namun bolehjadi salah. Dan mazhab orang lain salah, namun bolehjadi benar. Namun, jika kita ditanya tentang akidah kita dan akidah orang-orang yang bertentangan dengan kita, wajib kita menjawab bahawa akidah kita benar dan akidah selain kita batil [sesat].”
Kes-kes khilafiah yang berlaku di dalam masyarakat kita kebanyakannya menyangkut perkara-perkara furuk. Maka sikap yang kita tampilkan seharusnya adalah berlapang dada sambil berkata, “Ini pendapat saya, ianya benar namun bolehjadi salah. Dan itu pendapat si polan, ianya salah namun bolehjadi benar.”
Cukup itu sahaja, tanpa perlu tuduhan-tuduhan negatif yang membabitkan label “sesat” dan “bid’ah” selama masalah yang diperselisihkan hanya berkisar di perkara-perkara yang tidak menyentuh prinsip-prinsip keislaman. Sekali tuduhan ini keluar dari lidah kita, kalimat itu akan terus membelenggu kita hingga ke hari pembalasan nanti.

***
Sering kali kita meyakini bahawa pendapat kita benar-benar sejalan dengan hadis Nabi Saw, sementara amalan dan pendapat orang lain telah menyalahi sunnah itu. Hati kita terasa gatal untuk menunjukkan keunggulan pendapat kita dan membongkar kelemahan orang lain. Apabila kita melakukan itu, tiba-tiba permusuhan yang kita dapatkan bukannya penerimaan.
Memang seperti itu selalunya buah dari sikap pertengkaran. Hati manusia "diprogram" untuk tidak suka dipersalahkan, namun ia mungkin terbuka untuk pemberitahuan. Pertengkaran meskipun didasari semangat “menegakkan sunnah” tidak akan membuahkan apa-apa selain perlawanan.
Dalam kitab Al-Adab Al-Syar'iah karya Ibn Muflih Al-Hanbali, Al-Abbas bin Ghalib Al-Warraq berkata kepada pemimpin ahli hadis dan ahli sunnah di Baghdad, Imam Ahmad bin Hanbal: “Jika aku berada dalam suatu majlis, dan tidak ada yang mengetahui sunnah [hadis] di dalam majlis itu kecuali diriku, lalu seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?”
Imam Ahmad menjawab: “Beritahukanlah sunnah itu, namun jangan bertengkar.”
Al-Warraq mengulangi soalannya beberapa kali, namun Imam Ahmad tetap melarangnya.  Beliau tidak menyukai pertengkaran walau “atas nama sunnah dan hadis” sekalipun. 
Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Imam Ahmad berkata, “Aku melihatmu orang yang suka bertengkar!”

Umar Muhammad Noor,
Woodlands, 18 Mac 2011
(Tulisan ini diubah suai dari artikel yang pernah saya tulis untuk Majalah Solusi)